ASSAR Group

...diversified portfolio of investments

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > News > Press Release > Rancang untuk masa depan

Rancang untuk masa depan

Rancang untuk masa depan

Courtesy from – THE BORNEO POST ONLINE, by Patricia Gari. Posted on February 12, 2014, Wednesday

PENGHARGAAN: Bujang (kanan) dibantu Pengurus Besar Permodalan ASSAR Sdn Bhd,Ghazali Ismail menyampaikan cenderamata kepada Taib pada Majlis Perasmian Terminal Bas Wilayah Kuching Sentral semalam. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Setiap pembangunan perlu ambil kira manfaat untuk generasi akan datang: KM


KUCHING: Perancangan pembangunan negeri pada masa hadapan tidak boleh hanya mengambil kira kepentingan masyarakat ketika itu, tetapi perlu turut menekankan manfaat yang bakal dikecapi generasi seterusnya.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kemakmuran yang bertambah baik dinikmati rakyat dan pertumbuhan pesat penduduk terutama di bandar besar seperti bandar raya Kuching adalah dua faktor penting yang mesti dipertimbangkan dalam pembangunan yang bakal dilaksanakan.

“Setiap pembangunan dilaksanakan, ia mesti mengambil kira ramalan atau jangkaan faedahnya kepada masyarakat bukan yang ada hari ini sahaja, tetapi yang akan muncul.

“Ini kerana kemakmuran yang dikecapi rakyat bertambah baik ditambah dengan kepesatan penduduk, misalnya bagi Kuching sahaja penduduknya sudah mencapai 800,000,” ujarnya ketika berucap merasmikan Terminal Bas Wilayah Kuching Sentral di sini, semalam.

Taib berkata, ketika ini trend kedatangan orang luar ke bandar raya Kuching untuk pelbagai urusan telah berubah yang menyaksikan ramai mula beralih menggunakan pengangkutan darat.

Situasi itu, katanya, menggambarkan Kuching bukan lagi perlu menangani masalah pergerakan masyarakat tempatan dalam lingkungan kawasan kecil, tetapi meliputi seluruh negeri yang sudah dihubungkan dengan sistem jalan raya.

“Oleh sebab itu, saya mahu mengucapkan tahniah kepada Permodalan ASSAR kerana telah pun berjaya memulakan tugas serta peranan mereka dengan semangat pembangunan seperti ini dalam cara mereka merancang terminal bas Kuching Sentral ini.Beliau berkata, ketika ini rakyat Sarawak boleh melakukan perjalanan darat dari Kuching terus ke Sabah, Lawas dan Brunei, malah Kalimantan Barat, Indonesia mengikut kemampuan masing-masing.

“Kuching Sentral telah pun dirancang supaya dapat menerima perjalanan trafik yang lebih meluas untuk memberi pelbagai kemudahan dan memudahkan perancangan perjalanan tanpa membuang masa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu melihat lebih banyak kemudahan awam seperti Kuching Sentral diwujudkan di negeri ini menerusi kerjasama antara kerajaan dan swasta.

“Kemakmuran dikecapi bermakna setiap pembangunan dirancang perlu dilaksanakan mengikut sistem yang betul dan mesti difahami sepenuhnya.

“Sebab itulah, kita mahu rakyat Sarawak lebih berpendidikan, dengan itu mereka boleh memanfaatkan kemakmuran dimiliki dalam situasi lebih selesa,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Permodalan ASSAR Sdn Bhd Tan Sri Bujang Mohd Nor berkata, Kuching Sentral yang mula beroperasi sepenuhnya pada Mei 2012 menampakkan perkembangan positif terutama dari aspek jumlah penumpang dan pulangan diperolehi syarikat bas ekspres yang beroperasi di situ.

Menurut beliau, Kuching Sentral yang dibangunkan oleh Permodalan ASSAR Sdn Bhd dengan kos pembinaan kira-kira RM90 juta merekodkan 272,255 penumpang sepanjang tahun 2013 berbanding 190,335 penumpang setakat suku ketiga 2012.

Bujang berkata, peningkatan juga dapat dilihat dari jumlah syarikat bas ekspres beroperasi di Kuching Sentral iaitu 14 syarikat termasuk dua dari Indonesia.

Katanya, ia melibatkan 80 perjalanan bas setiap hari dan jumlah itu meningkat sehingga 100 perjalanan sehari pada musim perayaan.

Destinasi perjalanan pula, jelasnya, bermula dari Kuching ke Kota Kinabalu, Sabah bagi laluan utara, manakala laluan selatan membabitkan perjalanan ke Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia.

“Saya difahamkan syarikat bas ekspres di sini berjaya meningkatkan jualan serta hasil pulangan mereka sebanyak dua kali ganda.

“Kuching Sentral satu-satunya terminal bas awam di Sarawak yang menggunakan sistem tiket berkomputer bagi memastikan penjualan tiket perjalanan dan pembayaran dilakukan menerusi saluran yang betul,” katanya.