ASSAR Group

...diversified portfolio of investments

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > News > Press Release > ASSAR serah satu blok rumah kedai kepada DCF

ASSAR serah satu blok rumah kedai kepada DCF

Courtesy from - Borneo Post Online, Posted on July 17, 2013, Wednesday

TERIMA KASIH ... Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menyaksikan simbolik penyerahan unit kedai di Lubok Antu, Sri Aman daripada Pengerusi ASSAR Tan Sri Datuk Amar Haji Bujang Mohamad Nor, kepada Pengurus Lembaga Amanah Dayak Cultural Foundation (DCF) Tan Sri Leonard Linggi Jugah, dalam satu majlis Serah-Milik Unit Kedai Di Lubok Antu, Sri Aman, di Tingkat 19, Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, di Kuching, semalam. Turut kelihatan Dato Sri Michael Manyin manakala gambar kecil, unit kedai di Lubok Antu, Sri Aman hadiah dari ASSAR kepada YKD.

KUCHING: Permodalan ASSAR Sdn Bhd menerusi anak syarikatnya ASSAR Development (Sarawak) Sdn Bhd semalam menyerahkan satu blok rumah kedai yang terletak di pekan Lubok Antu,  Sri Aman kepada Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF).

Pengerusi Kumpulan ASSAR Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor hadir menyerahkan dokumen hartanah itu kepada Pengurus Lembaga Amanah DCF Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang juga pengerusi DCF.

Berucap pada majlis ringkas itu Jabu berkata penyerahan 24 unit kedai dua tingkat itu amat bermakna kepada DCF kerana ia akan membantu yayasan itu mendapatkan sumber kewangan bagi membiayai aktiviti yayasan dan pada masa sama membantu masyarakat Dayak meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

“DCF amat berbesar hati menerima sumbangan yang bermakna ini daripada ASSAR, dengan ini sekurang-kurangnya sumber kewangan Yayasan dapat ditambah menerusi perniagaan hartanah seterusnya membantu meningkatkan taraf sosioekonomi Dayak khususnya di Lubok Antu.

“Perniagaan hartanah adalah sumber kewangan utama DCF selain mendapat geran daripada kerajaan,” jelasnya.

Menurut Bujang pula penyerahan bangunan yang bernilai kira-kira RM200,000 itu kepada DCF selaras dengan objektif kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan pembangunan di kawasan luar bandar.

“Penyerahan ini adalah satu tanggungjawab sosial korporat Kumpulan ASSAR sebagai sebuah organisasi yang diamanah oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan tahap ekonomi golongan Bumiputera di Sarawak dengan tidak meminggirkan penduduk pedalaman daripada arus pembangunan.

“Justeru projek pembangunan yang dirancang tidak hanya tertumpu di bandar malah meliputi kawasan luar bandar seperti pekan Lubok Antu,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai perkembangan pembinan ibu pejabat DCF, Jabu  memberitahu bahawa pihaknya masih perlu mengumpul dana bagi menambah peruntukan awal RM5 juta diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas.

Beliau memberitahu, ibu pejabat itu akan dibina di atas tapak seluas empat ekar berdekatan kampus lama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan dan pembinaannya akan mengambil kira semua etnik Dayak yang ada di Sarawak seperti Iban, Bidayuh serta Orang Ulu.

“Kita pilih kawasan itu kerana ia merupakan presint pendidikan dengan pelbagai institusi pengajian tinggi di situ.

“Ia seiring dengan hasrat kita mahu menggalakkan pembangunan pendidikan dan tidak ada seorang pun rakyat khasnya komuniti Dayak tercicir daripada pendidikan,” katanya.

Last Updated on Friday, 19 July 2013 06:29