ASSAR Group

...diversified portfolio of investments

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > News > Press Release > Enam waris pelabur ASSAR menerima pampasan perlindungan takaful

Enam waris pelabur ASSAR menerima pampasan perlindungan takaful

Borneo Post Online, posted by Just on August 27, 2011 @ 5:00 AM In Berita Tempatan

KUCHING: Enam waris pelabur Amanah Saham Sarawak (ASSAR) skim pelaburan Akaun Persaraan dan Akaun Pendidikan menerima wang pampasan perlindungan takaful berjumlah RM164,127.

Cek pampasan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan ASSAR Tan Sri Datuk Amar Bujang Mohd Nor dalam satu majlis sempena ulang tahun ke-18 ASSAR di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Sehingga kini, sejumlah RM291,049 pampasan perlindungan takaful dan khairat kematian telah diterima oleh waris pelabur-pelabur yang layak sejak skim perlindungan takaful itu diperkenalkan pada 2004.

Terdahulu dalam ucapannya, Bujang memberitahu bahawa ASSAR dengan kekuatan dana dibenarkan sebanyak 750 juta unit memiliki modal pusingan berjumlah RM561 juta dengan 70,000 pelabur.

“Meskipun berhadapan dengan pelbagai krisis dan kegawatan ekonomi namun pelabur ASSAR terlindung daripada tempias itu dengan adanya mekanisme harga RM1.00 seunit sejak 1998.

“Kini ASSAR menawarkan Akaun Persaraan dan Akaun Pendidikan untuk disertai oleh kaum Bumiputera demi jaminan masa depan,” katanya.

Akaun Persaraan ASSAR adalah konsep perancangan tabungan jangka masa sederhana panjang yang dibuka kepada Bumiputera Sarawak dan Bumiputera lain yang telah berkhidmat di negeri ini.

Sementara itu, Akaun Pendidikan ASSAR pula ditubuhkan dengan tujuan menggalakkan kaum Bumiputera di Sarawak menabung bagi memenuhi keperluan pendidikan anak-anak mereka.

Selain daripada ciri tetap jaminan harga minimum RM1.00 seunit, ASSAR dan potensi keuntungan melalui pengagihan dividen, pelabur-pelabur juga layak menerima perlindugan takaful percuma berdasarkan RM1.00 untuk setiap unit pelaburan (maksimum RM300,000) dan Khairat kematian bernilai RM1,000.

Dalam pada itu, pelaburan ASSAR boleh dibuat menerusi pelbagai cara iaitu secara tunai, kiriman wang dan cek atau bank draf.

Pelabur juga boleh membuat potongan gaji melalui Biro Perkhidmatan Angkasa atau Perbendaharaan Negeri Sarawak bagi kakitangan kerajaan dan potongan gaji bagi kakitangan swasta.

Hadir sama Pengarah ASSAR Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg serta Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Saham Sarawak Berhad Norlia Madon.